Salam semua. Hari ini, Pakcik nak bawa kita semua berjalan-jalan melalui cerita ke beberapa kota yang penuh dengan suasana romantis di Itali. Negara ini terkenal dengan budaya, seni, dan keindahan alamnya yang menawan hati. Kalau nak tahu bangsa yang lelakinya tak malu membawa jambakan bunga untuk diberi kepada kekasih mereka pada hari tanpa apa-apa acara sekalipun, itulah bangsa Itali. Jom kita lihat 7 kota cinta paling romantis di Itali!
Siapa yang tak kenal Venice? Kota ini dikenali dengan gondola yang melintasi terusan-terusan kecil. Kalau kamu berjalan dengan pasangan, cuba bayangkan duduk dalam gondola sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa. Dengan bayaran serendah 60 Euro kita dibawa jalan-jalan dengan gondola, tambah sikit tukang kayuh pun menyanyi dengan musik-musik romantis. Pakcik rasa, hati kamu mesti cair melihat pemandangan bangunan lama yang begitu cantik. Vibe romantis itu akan perlahan meresap dalam jiwa jadi kenangan paling manis. Pakcik pun berbulan madu dengan makcik kau di sini lah masa muda-muda dulu.
Florence atau Firenza adalah pusat seni dan budaya Renaissance. Ehem, pakcik pun berbulan madu singgah ke sini tetapi bukan pakcik perasan seorang diri, tempat ini memang rating antara kota romantis dari pandangan Lonely Planet dan National Geographic. Dengan keindahan seni bina, galeri seni, dan suasana romantik di sekitar Sungai Arno, kota ini memang sesuai untuk pasangan. Jangan lupa menikmati matahari terbenam di Piazzale Michelangelo. Pakcik lebih gemar menghabiskan masa dengan isteri pakcik masa tu dengan menghirup kopi panas sambil memerhatikan orang lalu lalang.
Kota cinta tidak lengkap tanpa Rome, "Kota Abadi." Berjalan-jalan di sekitar Colosseum, Trevi Fountain, dan Spanish Steps bersama pasangan akan mencipta kenangan yang tak terlupakan. Tambahan pula, makanan Itali di sini memang terbaik! Pakcik sempat naik ke St. Peter's Basillica atau ramai kenal sebagai geraja Vatican. Sebenarnya pakcik naik sampai ke atas kubah gereja ini dan boleh dari sudut itu melihat pemandangan majestik seluruh Kota Rome. Di tepi-tepi Sungai Tiber di tengah Rome ni, pakcik enjoy pula dengan melayan karya pelukis-pelukis jalanan yang sebahagiannya sangat comel menjual karya mereka dengan basikal klasik.
Pantai Amalfi adalah tempat yang menakjubkan dengan pemandangan laut yang memukau. Pemandangan yang menarik ialah kampungan di lereng tebing laut yang menguji kekuatan betis masing-masing. Syukurlah pakcik kahwin masa muda dulu, betis kuat lagi. Sekarang kalau nak ke sana, betis pakcik lagi kuat. Utamakan kesihatan, jogging dan berjalan leha-leha jadikan rutin baru kuat macam pakcik. Maaf, terbagi pesanan khidmat masyarakat pula. Bandar kecil seperti Positano dan Ravello menawarkan suasana yang sangat romantis dengan landskap dramatik dan udara segar. Menghirup secawan espresso pahit pun terasa manis kalau dihirup depan gadis idaman yang bergelar isteri yang sah. Kalau kekasih gelap, pakcik doakan azab neraka kau rasa sampai bertaubat.
Verona adalah kota yang menjadi latar cerita cinta Romeo dan Juliet. Rumah Juliet dengan balkoni terkenalnya menarik pelawat dari seluruh dunia. Suasana kota ini yang tenang dan klasik sangat sesuai untuk pasangan yang ingin menghidupkan suasana cinta. Teori mengarut mengatakan jika memegang patung Juliet pada buah dada kirinya akan memberi kegembiraan sepanjang hayat. Pakcik tak percaya langsung tahyul begitu, dan pakcik seru kita tengok sahaja tak perlu pegang. Tak elok dipandang kanak-kanak.
Lima kampung kecil yang terletak di tebing pantai ini adalah destinasi yang penuh warna dan keindahan. Berjalan kaki di laluan "Lover's Lane" (Via dell'Amore) antara Riomaggiore dan Manarola adalah pengalaman romantik yang unik. Pakcik pernah sampai di Vernazza sahaja itupun masyaAllah memang sangat menakjubkan. Tetapi awas ya semua, parking terdekat kalau kita ke sana sekitar 1 km berjalan. Jika tidak terlalu tergesa-gesa, santai-santai sahaja kita boleh sampai ke kampung yang berbaloi melihat kesepadanan antara keindahan alam semulajadi menyatu dengan buatan manusia. Campuran rona-rona warna bangunan itu yang menjadikan keseluruhan 5 kampung di Cinque Terre ini sangat otentik lagi romantik.
Lake Como adalah tempat percutian yang sering dikunjungi oleh selebriti. Bellagio adalah salah satu bandar yang terletak di pinggir Lake Como. Dengan tasik yang tenang, gunung-ganang yang mengelilingi, dan vila-vila mewah, suasana di sini memang sempurna untuk pasangan yang mahukan percutian eksklusif. Paling pakcik tak dapat lupa apabila mudik dengan bot pandu sendiri menyusur tasik Como yang berlatar belakang pemandangan majestik Alps Itali.
Baiklah semua, cukuplah 7 yang paling ngetop menjadi kota paling romantis di Itali untuk kali ini. Itali memang penuh dengan tempat yang mampu membuat hati berbunga-bunga. Pakcik harap perkongsian ini dapat memberi inspirasi untuk kamu merancang percutian yang romantis bersama insan halal tersayang kita.
"Penarafan ini berdasarkan pandangan dari pelbagai sumber pelancongan terkenal, termasuk Lonely Planet dan National Geographic."
Sekian sahaja dari Pakcik. Selamat merancang perjalanan dan jangan lupa, cinta itu bukan hanya tentang tempat, tapi tentang pengalaman dan kenangan yang dicipta bersama sepanjang hayat di kala susah mahupun senang. Jangan masa susah bersama, bila senang kau pula cari gadis dan janda lain yang muda yang melihat kau tidak lain hanya seperti sebuah mesin ATM yang mengeluarkan duit yang dimahukan.
Catatan
SAIFUL NANG
Interdum et malesuada fames